Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Ahad, 22 Ogos 2010

22 Ogos 2010 Sudah 12 Ramadhan 1431 rupanya

Ohhh rupanya setahun yang lalu, 22 Ogos 2009 merupakan 1 Ramadhan 1430! :)
Tiba-tiba teringat nota lamaku di dalam blog ini...

Sudah hampir 2 minggu kita berpuasa....

Apa juadah rutin yang sentiasa aku/keluarga ku beli setiap tahun ?

1. Air soya
2. Isi tauhu (tau fu fa)
3. Kuih tepung pelita
4. Murtabak
5. Kuih tepung sagu
6. Karamel
7. Serunding


Ini yang ku ingat setakat ini... Anda bagaimana pula ?

Selasa, 17 Ogos 2010

17 Ogos 2010 7 Ramadhan 1431 Teringatkan Hussein dan Habibah

Cepat sungguh sudah seminggu kita berada di bulan Ramadhan... Makin hari makin cepat putaran waktu berlalu... Terasa semakin banyak perkara yang ingin dilakukan dan masih belum lagi disempurnakan. Ada yang sudah dimulakan tetapi tertangguh. Ada juga yang sudah siap.

Minggu hadapan aku akan berangkat pulang ke kampung halaman nenek moyangku. Semoga tertunai juga impian aku menjejak kaki ke ranah seberang. Di situlah moyangku dilahirkan - 2 beradik yang datang ke Tanah Melayu sewaktu Perang Paderi -mmmm buku cerita Perang Paderi terbitan PTS belum habis ku baca. PAdahal sudah setahun ku beli buku itu, aduhai! Kau harus mengetahui punca moyang mu berhijrah Melor! Arrgghh... mmmm penghijrahan keturunan Minang adalah perkara biasa, di tempat lainlah mereka bekerja keras mengumpul harta dan membawa pulang ke kampung halaman setelah berhasil.

Tetapi moyangku, Hussein Marajolelo dari Batu Sangkar, di sinilah dia bertemu jodoh dengan moyang perempuanku, Habibah dari Negeri Sembilan. Keduanya menetap dan membina rumah tangga, menyelongkar dan antara yang meneroka - penghuni asal Kampung Batu 4 1/4, Gombak, Selangor atau sekarang lebih dikenali sebagai Kampong Bandar Dalam dan sudah menjadi sebahagian kawasan Sentul, Kuala Lumpur. Daripada sekeping foto lama keluarga yang masih ada dan sudah menjadi kulit buku cerpen bondaku, dapat kulihat perbezaan jarak usia Nyang Hussein dengan Nyang  Bibah. Tentunya Nyang Bibah bernikah dengan Nyang Hussein dalam usia sangat muda. Sehingga dikurniakan : Siti Aminah, Idris, Sharipah, Bainah, Mohd. Din  dan Mohd. Zain -ini yang hidup dan meneruskan keturunan Hussein dan Bibah. Ada lagi beberapa cahaya mata mereka yang telah meninggal dunia. Jadi tentu saja bukan 6 orang sahaja putera puteri mereka, tetapi lebih, bukan! Nyang Hussein meninggal sewaktu anak bongsu kembar mereka sangat kecil lagi - mungkin belum 2 tahun barang kali. Kerana sekeping foto keluarga itulah menemukan kembali bondaku dengan sanak keluarga di Batu Sangkar, ketika Bonda pertama kali ke sana sewaktu membuat kerja kajian untuk tesis Doktor Falsafahnya pada tahun 1980an dan ketika itu Bonda juga berusia pertengahan 30an.
Sekarang sudah tiba waktunya untuk aku pula pulang ke sana. Yeah!

Tetapi sebelum perjalanan ku ke sana, ada liku-liku yang perlu kubereskan di sini. Mmmmm... kaf ro jim alif. Sudah beberapa minggu agak 'buntu-pening-susah hati' dengan dunia kaf ro jim alif. Malah sehari sebelum penerbanganku juga nanti adalah hari pembentangan, ooohhhh.... Semoga berjalan lancar...

Tujuan aku ke kampung halaman ialah untuk mengenali dan mengetahui tanah tempat kelahiran Nyang Hussein. Siapa keluarga ku di sana, tetapi sudah tentu orang yang tertua yang dekat dengan sejarah keluarga kami sudah tiada - Bondaku sempat bertemu dengannya pada tahun 80an dulu. Melihat kehidupan orang-orang di sana. Kemudian sudah tentu nak jejak kaki ke muzium yang merupakan perkara kemestian bagiku.... Ahhhhh.... ;)

Jika perjalanan ku ini berhasil, insyaAllah akan ada perjalanan susulan - dengan ahli keluarga yang lebih ramai dari Gombak. Mudah-mudahan.....

Aku merupakan generasi ke-4. Memang aku keturunan Minang, tetapi bukan hanya setakat Minang, masih ada banyak darah lain lagi dalam tubuhku. Datukku Ismail, ayah Bondaku sahaja keturunan Jawa-Banjar, di sebelah Ayahku pula keturunan Rawa - Parit - Orang Asli. Maka terhasillah aku - orang Melayu.

Bonda sentiasa mengingatkan aku berulang kali. Tidak ada istilah Indonesia - Malaysia untuk orang dahulu kala. Kerana politik-peperangan pada tahun 40an-50an sehingga kini yang memisahkan kita. Orang  Sumatera ke Tanah Melayu itu adalah perkara biasa, seperti menyeberang sungai sahaja. Semuanya serumpun. Orang dahulu lebih menyatu, yang baru tiba boleh berbaik dan menyatu dengan penduduk setempat. Tetapi kini semakin moden zamannya, semakin curiga kita kepada seseorang itu. Arrghhhh aku juga berkata kepada diri sendiri sebenarnya - kerana adakalanya aku lebih suka memencilkan diri.

Petualangan ku kali ini agak berbeza, kerana aku akan berangkat pada bulan puasa! Heheheh bagaimana pula cabaran kali ini ya. Alamak, dapatkah aku makan sambal hijau ? :P Alahai moga ada kedai yang akan buka malam hari setelah solat terawikh nanti - hehehehhe kalau tidak, kempunan pula tak dapat makan Minang di sana - hahahaah mengarut. Tentulah adakan, dah namanya berada di Ranah Minang, takkanlah tak ada lauk-pauk di restoran sana pulakan. Atau minta saja tolong Kak Silfia masakkan kan! Tentunya aku juga kena tolong di dapur juga! ;)

Ohhhhh lagi 10 hari, aku akan tiba di sana!

Rabu, 11 Ogos 2010

11 Ogos 2010 1 Ramadhan 1431

Hari ini merupakan hari pertama kita berpuasa :)
saban tahun kita menunggukan detik ini
ya kita bertemu lagi Ramadhan
aku dan bonda pagi ini bersahur nasi + (tauhu, peria, telur masak taucu).
adik pula bersahur bersama teman-teman baik dibangku sekolahnya.
di hadapan aku dan bonda sekarang ini, orang-orang di masjidil haram sedang bersolat terawih....
mmm... seronoknya melihat dan merasai solat berjemaah, apa lagi terawih....