Status ahad lalu, 281110 : mendung dan guruh di kuala lumpur.
ada sebaris ayat yang kupadamkan : mendung bererti hujan.
ya memang ia membawa hujan. hujan yang sangat lebat.
sepantas itu Allah membawa ayah pergi. ketika aku tinggalkan ayah seketika. aku cuma berada di kerusi di luar wad. tanpa memberitahunya, kerana dia lena ketika aku keluar.
pagi itu ayah masih bersarapan pagi, berbicara denganku juga dengan pakcik-pakcik di katil sebelah, dengan jururawat dan doktor. ayah masih lagi ke bilik air sendirian, dan adakala aku mengekorinya juga.
ayah juga masih makan tengahari. bertanyakan adik. berbicara dengan pakcik batu 8. kemudian dia baring dan tidur...
melihat dia lena tidur, aku bangun dan duduk di bangku di luar wad. mengemaskini status facebook ku dan memuat naik turun foto di batusangkar. di 9 minit terakhir, lembab sekali fb ni memuat naik fotoku... aku gelisah, terasa sudah terlalu aku di luar.
bila masuk semula, kuhampiri ayah. cara tidurnya berbeza. aku aneh, tapi masih tidak berani mengejutkannya, teringat yang dia kata semalam tengah lena tidur, dikejutkan oleh seseorang. selama 10minit aku perhatikannya.
tidak ada bunyi pernafasan yang kuat. aku tidak nampak gerakan perut dan dada ketika bernafas. ayah juga tidak berkalih atau menggerak-gerakkan bibirnya. aku makin takut, jika apa yang kufikirkan itu adalah benar.
pakcik arifin dari greenwood di sebelah ayah, tidur lena, tapi aku nampak gerakan badannya bernafas. pakcik batu 8 gombak pula sedang gembira keluarganya datang menjengah.
akhirnya aku panggil juga ayah, beberapa kali. gerakkan badannya dengan lembut, agar dia tidak begitu terkejut jika dia benar-benar lena. ayah masih diam. dada dan perutnya tidak berombak.
jantung aku sangat deras gerakknya. kepala dan dadaku sangat sakit, cuba menahan kebenarannya... akhirnya aku kalah dan memanggil jururawat Nor. Dia juga panik. Melihat ayah tiada tindak balas, dia menjerit memanggil doktor.
13 doktor dan jururawat mengerumuni ayah. mereka sedaya upaya menekan, mengepam dada ayah. masukkan oksigen. ayah masih sama.
pakcik ariffin dan pakcik batu 8 sangat terkejut juga. kerana mereka baru saja berbicara dengan ayah sewaktu aku di luar wad dan melihat ayah tidur semula...
orang pertama yang aku hubungi: adik. datang segera - ayah berhenti bernafas. datang sekarang juga!
aku hubungi maksu.
seorang jururawat menghampiri aku, cuba hubungi ahli keluarga. aku kata sudah.
dia mendapatkan ayah semula.
apakah petanda itu, menyuruh aku hubungi ahli keluarga ?
semua mata di wad 18 liar memandang aku, jururawat dan doktor yang mengerumuni ayah di balik tabir.....
pakcik batu 8 menyabarkan aku dan menyuruhku duduk. aku tak mampu duduk. aku kaku melihat mereka yang bersama ayah...
ketua jururawat bertanya kepada seorang jururawat, ada waris pesakit ? jururawat menuding ke arahku. ketua jururawat menghampiri. bertanya padaku apa dan bagaimana ayah jadi sedemikian.sudah hubungi ahli keluarga ?
aku melihat ayah dari suatu sudut.
seorang doktor muda juga bertanyakan soalan yang sama.
kemudian doktor hanizah tiba....menjenguk dan berusaha.
akhirnya doktor hanizah menemuiku. ayat permulaannya, seperti menyejukkan hatiku... tapi lama-kelamaan aku salah pengertian. katanya jika lebih setengah ayah masih tiada tindak balas, kami terpaksa memaklumkan..... arrrghhhh....
memang hampir 50minit mereka berusaha....
deras melaju halilintar mengelilingiku
masa terhenti, mencengkam waktu
masih terbayang raut ayah di katil 30
maafkan lor kerna tidak ada di kala itu
kalaulah boleh kuputar waktu
mungkin bisa merubah apa yang perlu
maafkan lor, itu dari benakku...