Lega!
Tugasan berbulan-bulan sudah selesai... semua sudah selamat di bawa pulang ke induk dari ruang pameran...
Projek lain, tahun depan 2010 ya....
Mmmm esok Hari Raya Haji. ;)
Malam ini aku, adik dan ayah akan pulang berhari raya di kampung! Seronoknya!
Gembira kerana aku akan pulang ke Kg. Tua di Tanjong Belanja di Parit, Perak.
Sudah hampir 7 tahun aku tidak pulang ke kampung ayah.
Kenapa?
Kerana Opah menetap di Gombak, kami sekeluarga berhari raya di Gombak sahaja.
Tetapi di sela masa 7 tahun itu Opah, Ayah, Ayah Ngah dan Adik ada juga pulang ke kampung. Cuma aku yang jarang sekali pulang... Mmmm kenapa ya? Sebab utamanya - kerja!
Mmm.... Kerja?
Mereka selalunya pulang ke kampung waktu aku bekerja, jadi aku tidak dapat mengikuti mereka. Tapi kenapa kau tidak mahu ambil cuti dan pulang ke kampung Melor ? Kenapa?
Aku tidak bisa menjawab persoalan itu...
Sebenarnya dari tahun lepas sebelum Opah meninggal, aku sudah terasa ingin pulang ke Parit. Tetapi aku cuba kongsikan pada Adik, dan hajat ku pulang ke kampung sering tertangguh....
Tetapi kali ini semenjak beberapa bulan lalu, aku sering terasa ingin pulang sekali.
Apatah lagi terdengar ayah pernah berkata yang ada ura-ura dari Pak Nyah Win ingin mengadakan perkumpulan keluarga Tanjung Belanja... ;) Mmmm pucuk dicita rupanya! Namun itu rencana pada bulan Julai atau Ogos lalu, semasa kenduri kahwin Wani, 2 pupuku yang di adakan di Ampang, Tok Cu menyambut baik hasrat itu.
Tokcu merupakan adik Opah yang bongsu. Tokcu kata, ok kalau dibuat sewaktu Aidiladha seronok juga, boleh tumbang lembu seekor!
Aku dan adik senyum-senyum memandang... ;)
Tetapi sehingga awal bulan Oktober, ayah tidak sebut-sebut lagi tentang perkumpulan keluarga tu..... Mmmm... aku memang tak mengharapkan sangat. Cuma aku memang teringin mahu pulang, itu sahaja.
Siapa dan apa yang masih ada di kampung?
1. Opah Som, adik opah (yang ketiga dalam adik-beradik)
2. Nyang Kecik yang perempuan (makcik Opah)
3. Rumah Opah yang dibina 10 tahun lalu
4. Rumah Nyang Ali (Ngah Ali - Moyangku) yang berusia lebih 100tahun (atau hampir 200 tahun?)
5. Rumah Tok Ie (
Yop@Abang sulung Opah) di Kg. Nyior, Tg. Belanja
6. Pekan Tg. Belanja
7. Pekan Parit
8. Jambatan Nordin (yang tiada lagi bergedu-gedang! -huhuhuhuuh :( )
9. Anak-anak Opah Som yang pulang berhari raya
10. Anak-anak Nyang Kecik yang pulang berhari raya (bayangkan anaknya berjumlah 13 orang !)
11. Sungai Perak
12. Keluarga Tokcu Shaarani
13. Pokok durian, cempedak, rambutan dan langsat di sekitar rumah keluargaku! (mmmm pohon manggis di rumah Nyang masih ada lagikah?)
aaaahhh memikirkan semua ini bertambah rindu aku pada Parit!
tapi setiap kali kalau aku beritahu pada orang, tentang Parit, semuanya akan berkata Parit Buntar kah? dan acapkali itulah aku akan menerangkan, bukan... ini Parit sahaja. Bukan Parit Buntar atau mana-mana Parit di Johor....
kalau pernah tengok drama-drama di TV ada orang berdialek 'e-e-e' (aduhai, aku tak boleh nak bunyikan di sini, mmmm) itulah dialek orang Parit. Bunyinya berbeza dengan dialek bahasa orang Perak yang lain.
Jam 6.45petang, Adik dan Ayah menjemputku di pejabat. Kami terus bertolak ke Perak.
Mmmm... dari Jalan Duta ke Lebuhraya menuju Sungai Buloh, sesaknya masyaAllah.... rupanya ada kemalangan di depan. Setelah melepasi kereta-kereta yang kemalangan, barulah reda sedikit. Di radio, takbir raya berkumandang!
Hentian pertama kami ialah di R&R Sungai Buloh, adik belikan kami A&W..... yum yum yum....
8.30 malam sambung semula perjalanan.... aku sepanjang perjalanan tu tidur-terjaga-tidur... mmm qada tidur sebenarnya :P setelah berbulan tidak enak tidur... 2 kali adik berhenti di R&R aku tidak ikut turun, kecuali ke bilik air di R&R Tapah. Selepas itu aku tidur lagi, sehinggalah sampai tiba di persimpangan masuk ke Batu Gajah. mmmm rupanya ada jalan pintas baru ke Parit. Tapi adik dan ayah berpendapat menggunakan laluan lama, yalah, sudah jauh malam, kereta juga tidak banyak lagi.
Balik kampung, yea yea yea balik kampung....
Akhirnya jam 12.30 pagi barulah kami tiba di Rumah Opah di Parit!
Ya, kami telah selamat tiba dan pulang...
Opah, Lor telah pulang ke kampung!
Selamat hari raya semua!