Ahad, 31 Mei 2009

02 Mei 2009 Masih di Tanjong Puteri, Ujung Tanah

Aku dan Ayeen bersarapan di kedai Mamak di hadapan hotel kami di Jalan Meludrum. Aku memesan roti bakar dan teh tarik manakala Ayeen memesan roti telur dan teh tarik juga.

Ketika makanan kami barusan tiba, meja kami kemudiannya di sertai seorang wanita cina, ohhh persila saja duduk, bersama kami, memandangkan meja lain penuh. Dia memesan roti canai dan teh tarik.

Tidak lama kemudian ada seorang pakcik yang membawa bagasi kecil tidak kutahu dari mana atau ke mana tujuannya menyertai meja kami. Dia memesan roti canai dan teh tarik juga.

Aku dan Ayeen berbual-bual perlahan sambil melihat pemandangan sekitar sambil makan. Pakcik tu sudah bising-bising bertanyakan makanannya. Kemudian makanan wanita tu pun tiba di meja. Dia turut menjamah. Tapi keenakan sarapan pagi itu terbantut, kerana pakcik itu terus-terus mengomel, marah-marah pekerja kedai tu. Katanya dia sudah lama menunggu makanannya tidak tiba. Kukira pakcik tu memesan makanan tidak sampai 10minit pun! Aku dan Ayeen tadi lama juga menunggu tetapi tidaklah kami kisah. Mungkin kerana dia sebal melihat kami bertiga mengunyah makanan! Mmmm siapa pesan dulu, dialah makan!

Setelah makanan dihulurkan, dia makan dengan gopoh dan segera berlalu. Kemudian wanita itu pula. Aku dan Ayeen saling berpandangan. Memang kami agak geram, kerana keindahan pagi itu terganggu dengan kecerewetan pakcik itu. Apalah salahnya sabar sedikit. Bukannya lama menunggu pun. Mmmmm....

Kemudian Aku dan Ayeen menuju ke Stesyen Keretapi, nak beli tiket ke Temasek. Satu kaunter sahaja di buka. SAtu lagi kaunter pertanyaan. Tak mengapalah, masih belum ramai orang di situ. Tetapi walaupun tidak ramai yang beratur, servisnya agak lambat! Mungkin kerana orang yang di hadapan sekali banyak pertanyaan ?

Bila sampai ke giliran ku, petugas kaunter berkata tiket tidak boleh beli sekarang (waktu itu lebih kurang 10pagi). :P ceh. Kena beli jam 12.30tengahari nanti! Mmmmm... Sabar sahajalah....

Kemudian aku dan Ayeen meniti jambatan ke seberang --menuju City Square. Ayeen cari kasut yang lebih ringan untuk berjalan kaki, aku pula cari apa ya? Brosur Singapura, patung Cookie Monster....

Balik semula ke hotel, mengambil beg dan check out.

Jam 12.30tengahari kami tiba di stesyen semula dan beratur lagi....Beli tiket dan menanti keretapi ke Temasek! ;)

Jumaat, 29 Mei 2009

290509 Antara nota-nota ringkasku

Nota-nota ini dipetik daripada Mukabuku ku....

290509
Bulan Baiduri nak terbang ke kayangan! bulan nak bawa bintang bawa awan bawa suria bersama... juga kecapi yang beralun indah bergema di angkasa....

280509
21:16 : Malam makin pekat. Kabut makin melebarkan sayapnya. Sesak kian berpanjangan. Tapi langkah bulan takkan terhenti!

03:31 : banyaknya kabut.... sangat banyak.... terlalu banyak...

270509
16:07 : Can I breathe now? Mmmmmm.... Still thinking.... Mmmmm...

260509
21:03 : Bulan Baiduri Lega, dah d gombak... Ke mana hilangnya kedai kasut gombak?

20:25: Bulan Baiduri Baru tiba di pasar seni... Ngantuk! Mcm2 bahasa kedengaran di dalam bongkah elektronik yg bergerak meluncur sayup2...

250509
20:27: Bulan Baiduri Sgt mengantuk... Mmm di hadapanku keretapi sedang berlari kencang mengejar malam!

220509
15:36: Bulan Baiduri is listening to 'Selamat Tinggal' by Nikki Palikat while writing her minutes.... writing huh? typing actually...

ini antaranya..... tak larat pula nak petik nota-nota statusku yang lama-lama itu....

Rabu, 27 Mei 2009

30 April - 1 Mei 2009 Bersama Ayeen ke Johor Bahru

300409 Khamis

Dari pejabat, aku yang seperti biasanya orang terakhir meninggalkan ruang jabatanku malam itu, menuju ke Stesen Komuter ke KL Sentral. Alhamdulillah komuter cepat tiba, gundah juga kerana aku cuma ada masa 1 jam sahaja sebelum keretapi dari KL Sentral akan meninggalkan Kuala Lumpur. Fuuuhh lega.


Di pengurup wang CIMB di KL Sentral, Ayeen menemuiku di situ. Inilah pertama kali kami berjalan jauh cuma berdua, sememangnya inilah pertama kali juga Ayeen ke luar negara. :) Kerana aku jugalah Ayeen membuat passport. Selamat mengunjungi Persatuan Petualanganku! ;)

Keretapi ke Negeri Selatan, tiba agak lewat. Tetapi tidaklah sampai satu jam kelewatannya.
Di dalam keretapi sebelah kami adalah seorang warga emas yang membeli 2 kerusi untuk dia seorang. Ya, pastinya untuk dia melunjurkan kakinya. Mudah untuknya baring-baring. Mmm kenapa tidak ambil saja katil, kan mudah untuk dia tidur. Harga 2 kerusi lebih murah dari harga sebuah katilkah? Aku kurang pasti, malas hendak membuat pengiraan malam-malam buta begini...

Aku seperti biasa gemar menempah kerusi di hadapan sekali - berdekatan dengan pintu dan tv. Malam itu kami menonton King Kong, bercerita-ceriti sehinggalah Ayeen terlelap dan aku masih terkebil-kebil menonton tv sehingga habis filem tersebut...
Tidur....

Jam 5 pagi aku dan Ayeen ke kafe, minum nescafe panas. Bergoyang-goyang air kami di atas meja itu.... ;)



010509 Selamat hari buruh! Jumaat

Alhamdulillah kami selamat tiba di JB dan hotel kami hanya sekangkang kera sahaja dari stesyen keretapi tu... ;)
Barang wajib ada...


Check in - buat apa yang perlu - sambung tidur...

Jam 11pagi Lina sekeluarga menjemput kami dan menuju Restoran Singgah Selalu di kawasan Teluk Danga.
Jam 12 tengahari keluarga Huda pula tiba dan kami berbual...
Sudah lama aku tak ketemu mereka, berapa tahun ya? aaaahhh malas lagi aku nak mengira. Oh ya, mungkin pada tahun 2006. Kala itu anak Huda baru 4 tahun dan sekarang Afiq sudah 7 tahun!

Kemudian si suami-suami menghantar kami ke Danga City Mall yang pada mulanya kusangka di Teluk Danga, tetapi rupanya jauh nak ke Skudai sana.

Di sana kami melihat pameran IMCAS - memang itu tujuan utama aku ke JB, disamping bertemu teman-teman seITM ku. Banyaknya koleksi Farouk Khan suami isteri. Bilalah aku semampu itu, memiliki sejumlah karya-karya pelukis tanah airku? Ya, aku harus mulai dikit-dikit. Yang memang sudah kumulakan langkahku....

Anak-anak Lina dan Huda, sungguh gembira sekali berada di dalam ruang pameran. Berlari ke sana sini sambil bertanya itu dan ini. Seronok melihat telatah mereka. Pandangan mereka sungguh jujur sekali. Hikhihihkik aku tertawa pabila Haikal menyebut salah satu lukisan itu Hantu dan dia agak seru pabila melihat lukisan itu. ;P
Melihat arca-arca yang ada juga, membuat mereka tertanya-tanya. Afiq juga asyik melihat.

Petang itu kami ke Teluk Danga semula, melihat rumah-rumah limas yang ada. Cuma dapat melihat dari luar sahaja, kerana tidak dapat masuk. Memang ada 2-3 buah rumah yang dibuka, tetapi itu kafe-kafe sahaja. Kusangka ada juga ruang pameran di dalam rumah-rumah itu tetapi sangkaan ku meleset.....

Masuk ke ruang gerai di hadapan, Ayeen membeli beg sandang hitam yang cantik, kemudian kami singgah minum-makan petang.

Kerana kepenatan, mereka menghantar Aku dan Ayeen pulang ke hotel. Tetapi kami berdua singgah di 'kedai', mencari bahan makan malam kami.... Cekodok ikan jepun! hikhihkihkik.... kegemaran aku, dan juga Ayeen. Pekerja kedai tu pun dah tau Cekodok Ikan apa yang kami maksudkan.... hhehehehe....

Malam itu kami tidak keluar, hanya menyimpan tenaga untuk keesokannya pula...
Selamat malam-oopppsss aku tidur jam 3 pagi sebenarnya tanpa menutup tv. (mmmm ada kisah di sebalik tv itu!)

Selasa, 28 April 2009

28 Mac 2009 Di Ubud

Mmmm..... Sudah hari Sabtu. Pagi hari lagi aku sudah bangun dan menuju ke kolam yang menanti. Heheheh Kak Iza sudah ada duduk di bangku pinggir kolam. Dia tak mahu berendam, mungkin sudah puas di villa seminyak semalamnya.

Kemudian kak zal dan kak linda menyertaiku.... Kak Imah kemudian berputar-putar melihat kami.

Tak lama kemudian, kedengaran alunan lagu (mmm mungkin bacaan doa) yang datang dari Pura berdekatan. Aku betul-betul ingin mengeluarkan diri melihat penduduk-penduduk kampung ke pura itu... Ambil kamera, bergegas ke jalanan, diekori oleh Kak Linda dan Kak Zal. Gembira melihat penduduk setempat yang melintasi di hadapan. Berbaju kebaya semuanya - moden dan tradisional sambil membawa sesajen. Tapi sayang, sudah ramai yang menggunakan bakul plastik, tidak lagi bakul anyaman yang lebih estetik dan indah. Dan anak-anak lelaki mengenakan ikat kepalanya - mmm tidak ingat pula nama ikat kepala tu, Bonda, boleh beritahu semula apa namanya? ;)

Pak Wayan yang sedang menyapu, malu-malu... ;) Ohhh masih bujang, bertambah malu bila kami menyakatnya, kerana ada ramai anak gadis di situ. Memang lembut Pak Wayan ni... Dia kata lagu yang kami dengar tu, dari rakaman kaset/cd saja. Laaaa mati-mati ingat betul mereka berdendang secara nyata. :P

Tahun ini kami tidak pergi mendekati pura tersebut, untuk melihat upacara itu kerana ingin mengejar masa.

Masuk semula ke rumah, bersiap dan bersarapan... :)

Pak yasa tiba, kami terus menuju ke Muzium Neka. Alhamdulillah tahun ini aku dapat ke muzium. Hanya aku, Pak Yasa dan Kak Linda yang masuk ke dalam. Teman-teman yang lain putar-putar di luar.

Beruntung kali ini, kami dapat bertemu dengan pemilik muzium tersebut - Pak Neka.

Banyaknya koleksi beliau. Ada juga lukisan teman-teman ASRI bonda. :) Ada lukisan Made Wianta, Wayan Sika. Juga dosennya Nyoman Gunarsa.

Di satu ruang lain, ada patung besar Affandi dan Neka. Di dalam galeri itu ada 10 buah lukisan Affandi, wow! Dan aku ketemu salah satu kenyataan bergambar.... Ooooohhhh rupanya pemuda di dalam salah satu lukisan Affandi itu adalah Pak Neka! Dia rupanya. Awal tahun ini, aku cuma mendengar kenyataan Kartika bahawa itu seorang pemuda Bali. Dia tidak menyatakan siapa orangnya. Mmmm sekarang aku sudah temui jawapannya...

Teman-teman yang lain rupanya sudah ke pasar Ubud. Kerana menunggu kami yang tidak keluar-keluar dari muzium membuat mereka capek! Hehehe maaf ya.... Bagiku masa 45 minit di dalam muzium sememangnya tidak cukup bagi aku! Sekurang-kurangnya 1jam setengah! Itu pun cukup membuatkan ku sesak kerana terpaksa cepat-cepat....

Melangkah keluar dari muzium, Pak Martin sudah menunggu, dan kami terus menuju ke pasar ingin menjemput mereka pula. Kami menyusuri Galeri Blanco, tahun hadapan sahajalah aku dan kaklinda ke sana. Insyaallah. Masih banyak perkara yang perlu kulakukan di Ubud. Belum puas 'explore'.

Pulang ke villa, ambil bagasi.
Berfoto dulu dengan isteri Pak Gede, maaf mbak, aku lupa namamu... :) Pagi itu dia yang memasak untuk kami. Salam sama Pak Gede ya Mbak!

Selamat tinggal Pak Wayan, Villa Jineng, terima kasih atas layanan baik. Tahun hadapan jumpa lagi.

Dan Pak Martin memandu laju membawa kami keluar dari Ubud, di daerah Gianyar....

Isnin, 27 April 2009

27 April 2009 Hari ini, tarikh ini.....

Cuma tahun sahaja yang berbeza....


'Dinanti sengaja tak datang
usah diharap dakap sayang. '

'If waited for there is no trace
in vain will be love's sweet embrace.'


Nukilan Sasterawan Negara : A. Samad Said, dari buku terkini beliau 'Bisikan Warna' terbitan Wira Bukit Sdn. Bhd. dan Institut Terjemahan Negara, 2009.

buku ini aku beli semalam di pesta buku, pusat dagangan dunia putra.

Sabtu, 25 April 2009

27 Mac 2009 Dari Seminyak menuju Pulau Penyu dan Villa Jineng


Kami berenam bersarapan di Kafe Villa Seminyak pagi itu. Kak Ezz tidak menyertai kami.

Setengah jam kemudian Pak Yasa tiba dan kami beraksi di halaman Villa Seminyak - apalagi sesi fotolah! :) buat kenang-kenangan kami bersama kerana entah akan ke situ lagi atau tidak. Mungkin kami akan mencuba tempat lain pula lain kali....

Setelah itu kami menuju ke Nusa Dua, ke tepian pantai. Kami akan Teluk Penyu pagi itu....

Di tepian pantai, di situ kami dapat lihat ada pelbagai aktiviti yang boleh kami lakukan.... Tapi satu-satu dulu ya, jangan gopoh. Masih punya masa untuk memikirkan aktiviti apa yang ingin kami lakukan.

Pertama, kami menaiki bot menuju ke Pulau Penyu, tetapi untuk seketika bot berhenti dan kami berpeluang memberi 1 spesis ikan makan roti! Cantik ikan-ikan itu, cuma sayang aku cuma dapat lihat satu jenis ikan sahaja. Mana pergi spesis ikan lain?

Tiba di Pulau Penyu....
Peramah pula pekerja di situ... tetapi suka sangat menyakat Yana. Kasihan Yana. Dia yang geli memegang haiwan-haiwan di situ asyik menjadi mangsa pekerja di situ.....

Di situ ada penyu, enggang, iguana, ular, helang, kelawar. Tetapi aku sangat kasihan dengan Si Penyu Gergasi (memang besar!). Mereka ditolak-tolak seperti dipaksa untuk menjadi tontonan para pengunjung. Kasihan....

Setelah itu aku minum teh botol sementara yang lain menghirup air kelapa muda.... Enak menyegarkan.... Aku yang sebenarnya kurang gemar, tetapi turut merasa.

Tiba di pantai.....
Ok, aktiviti selanjutnya....

Kami semua bersetuju melakukan aktiviti 'Flying Fish'.... Eleh konon ikan terbang. Mana ada ikan terbang di sana... Tapi memang kami berterbangan di awan.... Seronok rasanya berada di atas.... Aku naik bersama Kak Imah.... Fuuuuhhhh kalau ada peluang nak naik lagi! Belum pasti di Malaysia dah ada ke tidak.... Mereka kata tidak ada, entahlah aku kurang pasti....
Yana seorang tidak naik. Dia bersama Pak Yasa mengambil foto kami... Alah aku masih tidak dapat foto itu daripada Yana dan Kak Ezz.. Mmmmm aku nak juga lihat foto di awan...


Flying Fish yang sudah jatuh di lautan.... ;)
Selepas itu kami terus ke Taman Sari.....

Sebelum dirawat...


Selepas....Ooopsss daguku sudah berlapis?! ish ish ish....


Dari Taman Sari kami makan petang (tengahari sebenarnya).... Aku gundah.... Malam nanti agaknya dah kekenyangan tentu tak makan di Jimbaran.... Hehhehe tetapi mereka kata aku pasti makan.... Sela masa makan petang itu adalah 3 jam, itu yang kufikirkan....


Kemudian kami ke Uluwatu. Terus ke arena... Mahu nonton Kecak - kisah Rama Sita.....

Sesi foto sebelum teater bermula

Pak Yasa Asmaraputra


Tetapi aku lebih terkesan Kecak di Ubud..... Aku masih samar-samar lagi kala pertama kali kumelihat Kecak pada tahun 1986 - tika itu aku berusia 8 tahun. Tetapi kerana itu keingin

melihat kecak itu masih membugar hingga kini. Bonda yang memperkenalkan Kecak padaku. Aku cuma ingat, aku duduk di atas batu bata... Ada unggun api. Dan mereka berkecak-cak-cak-cak..... Aaaahhhh indahnya saat itu. Komposisi kecak itu sangat terkesan buatku.... Tetapi keseluruhan suasana lalu masih samar-samar...... Tidak dapat kuingat....


Rama, Laksmana dan Sita



Seusai nonton, Pak Yasa membawa kami ke rumahnya! :) kami bertujuh senyum-senyum di dalam van. Benar dia memperkenalkan kami kepada keluarganya - Mbak Puri, Yoga - Yasa Jr. dan Maheswari..... Comel Mbak Puri, adik Pak Gede.

Setelah itu kami ke Jimbaran, makan malam di sana... Kan betul, akhirnya aku makan juga... Masih berselera rupanya! Hahahha.....

Malam itu kami tidak jadi ke Gramedia, ya esok sahajalah. Kami akhirnya terus menuju ke Ubud -Villa Jening. Aaaaahhh aku rindu sama villa itu. Suasana di situ.

Tanpa kuduga kami bertemu lagi dengan Pak Wayan. Wayan apa ya? Aku lupa tanya nama penuh dia. Dan seperti biasa aku akan minta centong! Hahahha :P Kali ini minta ember juga.... Hahhahah.... Lucu pula bila diingat-ingatkan... Hahhah kasihan Pak Yasa yang tercari-cari.... tapi memang diusahakan juga...

Kali ini kata Pak Yasa, anak pemilik villa itu (orang Jerman) ada. Namun malam itu kami tidak ketemunya.

Aku sekamar dengan Kak Iza, Kak Zal dan Kak Linda. Yang lain di kamar sebelah... Ahhhh aku senang betul di sini! ;)

Khamis, 16 April 2009

26 Mac 2009 Hari Nyepi - 6 Dara Menyepikan Diri... Iyakah menyepikan diri?

Selepas makan, santai-santai di hadapan kaca televisyen. Aku mula berendam kaki di kolam 'milik' kami. :) Tiba-tiba Kak Iza dan Kak Imah mencadangkan kami ke kolam di hadapan.. mmm cadangan yang baik! Kami semua ke hadapan, tetapi aku dan Kak Linda ingin mencari ruang berinternet, tetapi malangnya tidak ada. Villa Seminyak cuma boleh mengaktifkan Wifi. Mmmm tidak mengapalah, esok saja kami cari Warnet. Apalagi, berendamlah kami menyusuli teman-teman yang lain....

Pelbagai cerita dan seperti biasa aku ini pendengar setia kepada segala dongengan yang disampaikan. Cerita indahkah, cerita burukkah, cerita seramkah, apa sahajalah... :) aku akan tetap setia mendengar omelan orang lain.... Itulah aku. Cuma memang kadang-kala aku tidak dapat mengekalkan apa yang kudengar di dalam fikiranku... Hehhee itu yang membuat adikku geram... Hahhahha maaf Din!

Pulang ke villa semula. Bersiap-siap ke S.P.A.... hahahhaha terjebak juga aku dengan acara ini. :P ish ish ish.... ya akukan mahu melepaskan lelah di kota lumpur! rehat sajalah! :)





Sepulangnya apalagi kami makan petang. Juadah kegemaran kami sepanjang di Bali itu tidak lain dan tidak bukan adalah Maggie Mee dari Kuala Lumpur dan juga Indo Mee dari Indonesia, roti dan serunding serta buah-buahan... Mmmm kalau lama lagi, bisa kurus aku! Hehhehe....


Dari petang hingga ke malam itu, kerja kami hanya berkongsi cerita sambil menonton tv. Cerita Sangkuriang yang tidak habis kami nonton. Tetapi jika cerita itu mengikut versi asal, mungkin juga kami nonton hingga habis. Kemudian filem Inggeris yang kulupa judulnya, kemudian filem I Am Legend. Menarik juga, tetapi sekiranya aku berada di tempat Will Smith, aduhhhhh bosan yang amat jadinya aku! Kemudian sebuah lagi filem sehinggalah kami semua berundur merebahkan diri, TIDUR!

Sabtu, 11 April 2009

26 Mac 2009 Hari Nyepi



Selamat Pagi!

Nyaman sekali... :) Kulihat Kak Iza diperbaringan di atas sofa yang empuk. Televisyen terpasang, mungkin sesudah subuh dia mengadap tv sehingga terlelap. Aku menonton tv sambil menanti seseorang. Ting tong ting tong.... Yea orang yang dinanti sudah tiba...



Hehhehe :)

Pekerja villa datang untuk memasak sarapan untuk kami. Ceh, pemalas betul kami ek! Malas nak berjalan kaki ke kafe di hadapan sana....

Seorang demi seorang keluar dari kamar beradu... Mmmm sesudah siap, kami terpukau melihat meja makan. Fuuuhhhh penuhnya! Ada roti, telur dan buah...





Yana menunggu Budhi.... Tapi Budhinya tak kunjung tiba deh... :)


Selasa, 7 April 2009

25 Mac 2009 Menjelang Hari Nyepi

Jam 6.30petang kami bertujuh menapak keluar... ingin bepergian ke pekan... ingin melihat perayaan menjelang hari nyepi. sedang kami berjalan, tetiba muncul buggy yang dipandui oleh Budi setelah kami bertanyakan namanya... Budi ngantarin kami ke pekan mengikut jalan belakang, lebih hampir. Hhahahha Budi itu manis orangnya, membuatkan mbak-mbak ini suka menyakat dia, hahaha termasuk aku ker? :P Cheh!
Di pekan Seminyak itu, kami lihat ada 2 Ogoh-ogoh yang besar. Ogoh-ogoh ini adalah patung simbol kejahatan yang akan dibakar malam nanti di pantai. Dengan membakar ogoh-ogoh ini membawa maksud akan membuang segala kejahatan dan keburukan yang ada dalam diri dan sekeliling untuk sempena tahun baharu, lusanya nanti. Ya perayaan Hari Nyepi ini adalah sempena tahun baharu keesokan harinya. Tahun baharu dengan azam yang baru dengan kejernihan dan kebersihan diri dan dunia yang baru. Semoga sirna hilang dan sinar menjelma!
Kami menanti dan menanti dengan penuh setia....


Semakin senja barulah para penduduk yang diketuai orang kuat pura (sami) akan berarak ke pura berhampiran memohon restu untuk memulakan acara.

Tunggu punya tunggu, dah hampir jam 9 malam barulah ogoh-ogoh berarak di sekitar pekan... Tapi kami hanya menunggu sehala sahajalah, tidak larat hendak menunggu, takkan nak mengekor pulakan, walaupun sebenarnya hati aku ingin menyaksikan pembakaran ogoh-ogoh di pantai dan mengetik gambar! Mmmm tapi teman-teman menasihatkan agar membatalkan sahaja niatku itu kerana mana tahu upacara itu habis lewat dan bagaimana mahu pulang kerana jam 12 tengah malam mesti sudah sampai di villa. Kerana semua orang tidak dibenarkan berkeliaran tepat jam 12! Jika tidak akan ditangkap!!!

Ok kami pun pulang dan menonton televisyen.... Aku tidak tunggu lama kerana mata mengantuk sangat, berundur diri dalam senyap dan terlelap. Manakala yang lain-lain masih lagi berbual hangat! :)

Sabtu, 4 April 2009

25 Mac 2009 Villa Seminyak

Kulihat teman-teman ada yang mulai gelisah pabila tiba di daerah Seminyak, kerana kami melalui ceruk-ceruk.. :) aku senyum sendirian, aku yakin pastinya villa yang akan kami duduki ini menarik. Walaupun pemandangan di luar agak biasa. Aku tak kisah sangat, asalkan selamat dan boleh tidur sudahlah...


Pabila masuk sahaja di perkarangan, wahhhhhhhhh. Aku dan teman-teman terpana. Mana tidaknya, melihat kolam renang yang panjang dan indah! Hehhehe memang teman-temanku semuanya kaki renang... Pantang ada kolam, itulah yang mereka idami. Aku ni setakat berendam sahaja bolehlah! Hehheheh.... ;) Memang cantik!
Di pintu masuk villa kami, President Suite 1... Kongsi bersama, murah jelah bayarannya...













Siapa tiada dalam ini gambar? Ms. Linda....